Emel ini datang dari seorang wanita yang berhati tulus. Wahai lelaki, bacalah dengan kemuliaan jiwa seorang khalifah. Bacalah dengan nawaitu untuk menjadi pemimpin sebuah keluarga yang akan memasuki pintu syurga Allah di akhirat kelak.Assalamualaikum ya Ustaz
Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat lari dari fitrah dan naluri ingin bercinta. Saya pernah sekali bercinta ketika umur saya 19,namun ia putus ditengah jalan. Saya dikecewakan . Saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk membasuh kekecewaan hati saya dan untuk melupakan dia. Saya menyepi dan bersendiri untuk buang rasa cinta. Setelah pulih, saya mampu bangkit semula. Hati saya yang kecewa, saya rawat dengan selalu dekat bersama Allah. Saya takut untuk jatuh cinta lagi kerana saya tahu ianya akan buat saya kecewa.
Namun, dugaan Allah silih berganti dan saya diuji lagi. Saya bertemu dengan seseorang ditempat saya belajar. Sekali saya terlihat dia, hati saya seolah-olah terpaut. Dari fizikalnya, dia telah memenuhi ciri-ciri lelaki idaman saya. Tapi saya tak kenal dia. Saya tak tahu dia orang yang macamana. Setelah bersahabat, baru saya tahu dia seorang yang alim dan menjaga hubungannya dengan Allah. Dia sering menasihati saya dan menyedarkan saya dalam setiap perlakuan saya. Saya rasa jatuh hati pada dia tanpa saya tahu apa sebabnya. Saya impikan dia sebagai khalifah hidup saya namun saya tidak pasti siapakah yang tertulis di Luh Mahfuz untuk saya.
Saya tahu matlamat dia untuk berubah menjadi lebih baik. Saya juga begitu. Saya tidak mahu menjadi racun dalam hidupnya. Maka saya buat keputusan untuk tinggalkan dia. Bukan niat saya untuk putus silaturrahim, namun saya memberikan jarak dan ruang untuk kami capai impian terlebih dahulu.
Ustaz, sesungguhnya saya telah menemui seseorang yang saya dambakn selama ini. Seorang yang mampu menjadi imam dalam solat saya, yang dapat menjadi khalifah mengemudi bahtera keluarga dan mampu menjadi abi kepada anak-anak saya. Tapi saya belum pasti adakah dia yang tercipta untuk saya dan adakah saya tulang rusuknya. Ustaz pernah cakap dalam artikel sebelum ni bahawa kalau kita dah jumpa lelaki seperti ini, kita kena pegang cepat2. Tapi apa yang saya buat adalah melepaskan dia kerana kami masing-masing belum bersedia. Ustaz, apakah saya perlu hadir dalam hidupnya lagi setelah saya lepaskan dia? Bantu saya, ustaz.
RESPON USTAZ
Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih saudari sudi bertanya, soalan dan polemik yang sangat wajar untuk dibincangkan. Semoga saudari mendapat kebaikan. Ustaz juga manusia biasa, tidak tahu meramal masa depan. Ustaz tidak tahu apa yang terbaik buat saudari... tetapi Allah tahu. Maka, kita perlu berdoa sepanjang masa agar dibantu oleh hidayah Allah.
BILA SUDAH KETEMU LELAKI YANG DICARI...
Jika benar saudari merasakan dia lelaki terbaik untuk saudari. Maka, beritahu ibubapa dan minta mereka buat risikan. Jika boleh, cari maklumat pasal keluarganya dari masa ke semasa. Jika ibubapa bersetuju. Maka cadangkan lelaki agar masuk menghantar wakil untuk tanda. Tidak salah bertunang awal. Walaupun belajarnya masih lama. Kerana semasa bertunang, tidak perlu berjumpa atau berbual. Bertunang adalah tanda... maka, bila sudah tanda. Hati tidak runsing lagi.
Inilah tindakan terbaik jika mahu menjaga ikatan sekarang agar membawa ke jenjang pelamin. Sebolehnya, biarlah pihak lelaki juga serius dahulu. Buat majlis ringkas saja. Tidak perlu besar-besar.
JIKA MASING-MASING MASIH BELUM BERSEDIA...
Maka, tidak perlu fikir panjang. Banyakkan berdoa dan sambil itu fokus kepada pengajian. Kerana, tidak semua yang kita fikir baik... adalah baik di sisi Allah. Tidak semua yang kita nampak comel, maka ia juga comel di sisi Allah. Boleh jadi ada sesuatu yang kita tidak tahu dalam perhubungan. Anggaplah bahawa saudari sedang melalui proses ujian dan kesabaran.
Walaupun hubungan hati tidak putus, tidak perlu luahkan. Tidak perlu dedahkan. Allah maha mengetahui dan dia yang berkuasa menentukan perhubungan ini berjaya atau tidak. Bukan kita yang tentukan. Oleh itu, banyakkan berdoa. Lagi besar harapan dan dalam cinta kita kepada bakal pasangan, biarlah lagi banyak doa dan munajat. Bukan lagi banyak angau dan berangan. Maka, jika hal ini dapat diteruskan... bererti, saudari sedang melalui jalan yang diberkati. Insya Allah.
MASA DEPAN MILIK ALLAH SECARA MUTLAK
Kerana masa depan adalah milik Allah, kita boleh berusaha dengan apa yang kita mampu. Keputusannya kita serahkan kepada Allah. Banyak sangat fikir, membuang masa. Kena ada azam dan tawakkal. Barulah kita boleh fokus kepada pengajian. Bila sampai masa, kita boleh teruskan dengan pertunangan dan perkahwinan. Insya Allah.
Previous Article
Catat Ulasan