Emel ini dirahsiakan nama pengirimnya. Harapnya pembaca dapat mengambil pengajaran.
Assalamualaikum...
Apa khabar ustaz? Maafkan saya menggangu... Boleh panggil saya *****.Saya harap ustaz dapat memberi pendapat dengan masalah yang saya hadapi sekarang... Saya sangat buntu untuk buat keputusan demi masa depan saya.
Saya sedang bercinta dengan seorang lelaki, S... Kami telah kenal lama dan merancang untuk berkahwin hujung tahun ini.. Tetapi semakin hampir dengan waktu majlis itu, makin banyak masalah yang menimpa saya.Antaranya ialah :
1- Keluarga saya tidak menyukai pilihan saya kerana dengan alasan mukanya nampak bengis, takut S sebenarnya adalah seorang yang panas baran. Selain dari itu, kami sama-sama anak pertama yang mengikut orang tua saya, akan sentiasa bergaduh. Lagi, keluarga saya tidak menyukai pekerjaannya yang hanya sebagai penjual insurans yang dikatakan tidak menjamin masa depan. Dikhuatiri S akan mempergunakan kelebihan pekerjaan saya sekarang untuk kesenangannya yang mana apabila kami dah berkahwin, sudah semestinya saya tidak boleh melawan kata2 suami..
2- Oleh kerana saya terfikir untuk menyenangkan hati keluarga saya, saya telah berkawan dengan seorang cikgu H.. Dan saya pernah bawa ke rumah untuk diperkenalkan kepada keluarga saya. Ternyata keluarga saya sangat menyukai dia. Tetapi hati saya tetap tidak boleh menerima H kerana saya hanya sayang pada S, yang mana hubungan saya dengan S telah hampir 2 tahun tetapi dengan H hanya 2 bulan. Setiap kali saya pulang ke rumah, keluarga saya mesti mendesak saya untuk melupakan S dan menerima H. Tetapi saya selalu berfikir, saya yang akan hidup dengan lelaki itu pada masa depan antara 2. Dengan itu, saya mengecewakan mereka dengan tetap memilih S. Tetapi dalam masa yang sama, H masih berharap.
3- Di saat yang semakin hampir untuk majlis pertunangan yang kami rancang (keluarga belum tahu kami ingin bertunang), saya mendapat berita yang sangat menyakitkan. Saya dapat tahu S telah mempunyai seorang anak luar nikah dengan seorang perempuan, D. Sebelum ini, memang saya tahu kewujudan D hanya sebagai kawan rapat S. Tetapi saya tak sangka yang S sebenarnya berhubung dengan D untuk berjumpa dengan anaknya. Menurut S, dia sangat sayangkan anaknya dan akan memberi nafkah yang sepatutnya sehingga anak itu besar. Menurut S lagi, dia memang mahu berkahwin dengan D untuk bertanggungjawab tetapi keluarga S tidak boleh menerima D ( keluarga S tidak mengetahui kewujudan anak itu). Selain itu, S berkata hati dia sangat berat untuk berkahwin dengan D kerana tiada menyimpan perasaan lagi. Oleh kerana itu, S membuat keputusan hanya akan menanggung keperluan anak itu sahaja dan akan sentiasa berhubung dengan D kerana anak itu. S juga mahu menjaga hati keluarganya. Dan dari apa yang saya tahu, keluarga S sangat boleh menerima kehadiran saya tetapi bukan D. Dan saya tahu D masih menyayangi S dan akan cuba menambat hati S.
Saya menjadi sangat lemah dengan permasalahan begini. Bolehkah ustaz membantu saya untuk menyelesaikan masalah saya ini?
Patut ke saya meneruskan hubungan saya? Saya tidak mahu kehilangan S, dalam masa yang sama saya takut masa depan saya tidak seindah yang saya harapkan... Apa yang saya takut, bila saya buat keputusan untuk teruskan berkahwin dengan S, D akan datang mengganggu S lagi dengan menggunakan anaknya. Apa yang harus saya buat?
Dan apa yang menjadi masalah lagi, penerimaan keluarga saya terhadap pilihan hati saya ini. Keluarga saya sangat mahukan saya menerima orang yang menjamin masa depan saya (kerja kerajaan). Saya jadi buntu dan takut untuk berkahwin.
Apa pendapat ustaz? Saya harap ustaz dapat memberi pendapat ustaz pada saya secepat yang mungkin. Terima kasih kerana sudi membaca dan membantu saya. Saya memang sangat memerlukan pendapat ustaz...
Wassalamualaikum....
Assalamualaikum
*****, terima kasih sudi bertanya.
Masalah ***** tidak berat dan tidak sebesar manapun. Cuma, emosi saudari sudah menguasai diri. Dalam hal ini, ***** perlu kembali kepada agama untuk mendapat keselamatan dalam rumahtangga.
Ada tiga perkara yang ***** perlu sedar.
Pertama : Maruah diri.
S adalah lelaki yang tidak setaraf dengan *****. Kerana apa? Kerana dia pernah meniduri seorang wanita atau berzina dengannya. Mana-mana lelaki yang pernah berzina dengan seorang wanita, adalah dilarang berkahwin dengan wanita dara. Ini adalah larangan Allah dalam surah An-Nur. Maksud firman "Penzina lelaki tidak dibolehkan berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, dan begitu juga sebaliknya". Jika arahan ini dilanggar, pasti akan berlaku banyak musibah dalam perkahwinan.
Kedua : Berkat dalam pilihan Ibubapa.
Bagi anak perempuan, pilihan ibubapa adalah sangat memberi kesan dalam kehidupan berumahtangga. Ia tidak sama dengan anak lelaki. Jika anak lelaki, dia berhak untuk membuat keputusan. Sedangkan anak perempuan diwajibkan mematuhi kehendak bapa dalam pemilihan jodoh. Kerana bapa disebut sebagai wali mujbir. Iaitu wali yang berhak memaksa anaknya kahwin. Jika mampu dipatuhi, percayalah ada keberkatan dalam rumahtangga.
Ketiga : Kebahagiaan itu Datang melalui pengamalan agama. Bukan keran cinta.
Ingat, tidak ada rumahtangga yang bahagia tanpa pengamalan agama. Cuba cek, antara S dan dan cikgu H, mana satu lebih beragama. Mana satu yang lebih menjaga solat. Bagi ustaz, jika S pernah berzina ustaz berani jamin dia bukan jenis orang bergama. Entah solat atau tidak. Oleh itu, cuba tengok cikgu H bagaimana? Kalau jenis orang bersolat, maknanya dia akan mampu bawa kebahagiaan dalam rumahtangga.
Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia. Ramai orang bercinta bagai nak rak, tapi bercerai berai juga. Ramai yang kahwin suka sama suka. Tapi, rumahtangga kecoh. Ini bukan soal cinta atau suka. Ini soal sejauh mana kebergantungan suami isteri pada Allah. Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga. Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia.
Oleh itu, jika ***** hanya Cinta kepada S yang maruahnya rendah di sisi agama dan seorang yang tidak mengamalkan Islam. Maka cinta ***** itu sebenarnya tidak 'rasional' malah jauh dari kebahagiaan sebenar. Oleh itu, ***** kena sedar bahawa peranan besar suami itu adalah yang menyelamatkan kita dari dosa dan membawa ke syurga. Jika cikgu H mampu membawa ***** ke jalan itu, mungkin dia adalah pilihan yang tepat. Jika dia pun 2 X 5 dengan S. Elok cari orang lain.
KESIMPULAN
Ustaz sebenarnya masih ada beberapa perkara yang perlu dikongsi, cuma...buat masa ini cukup setakat itu dahulu. Seeloknya ***** perbaikilah diri dan banyakkan berdoa. Biasanya calon kekasih kita ini adalah cermin kepada diri kita. Jika kita baik, pasti kita akan dapat pasangan yang baik. Jika kita tidak bagus...calon kekasih kita pun sama dengan kita. Muhasabahlah.
Selamat berusaha.
Salam aidilfitri.
Wassalam.
Assalamualaikum kembali...
Saya rasa belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf zahir batin.. Terima kasih kerana ustaz mahu berkongsi pandangan dengan saya. Tetapi masih ada lagi yang belum saya perjelaskan di sini. Saya harap sekali lagi ustaz boleh menolong saya menyelesaikan masalah ini.
Sebenarnya saya berasa malu untuk membuka rahsia ini. Tapi saya sangat keliru dan mahukan pandangan dari ustaz. Saya harap ustaz dapat menyimpan rahsia saya ini. Yang sebenarnya saya juga telah terlanjur dengan S. Kerana firman itulah yang pernah saya baca sebelum ini, membuatkan saya mahu terus mempertahankan S untuk menjadi suami saya. Apa pandangan ustaz mengenai masalah ini? Apa yang saya rasa sekarang, saya sudah tidak layak untuk mana-mana lelaki. Dan saya hanya mahukan S yang bertanggungjawab selain rasa sayang padanya. Maafkan saya. Malu untuk membuka pekung di dada tapi saya hanya mempunyai ilmu yang tidak seberapa dan kerana itu memohon dari ustaz yang mempunyai ilmu yang luas.
Selain itu, saya juga mahu tahu pandangan ustaz mengenai S. Adakah patut dia berkahwin dengan D untuk bertanggungjawab atas perbuatannya? Saya pernah menasihatinya untuk berkahwin dengan D. Dan S menjawab dia boleh berkahwin dengan D tapi akan bertahan dalam masa yang singkat. Saya rasa ustaz faham maksud S. Dia akan berkahwin dengan D tapi akan bercerai selepas itu. Katanya demi keluarganya yang tidak dapat menerima kehadiran D. Apa pendapat ustaz tentang ini?
Saya juga ada mendengar, dan saya hanya mahu kepastian dari ustaz. Adakah anak yang ada itu menjadi bukan muhrim dengan S? Adakah anak itu boleh dikahwini S? Saya ada terdengar perbualan kawan-kawan saya mengenai ini. Adakah benar?
Saya rasa setakat itu dulu yang saya mahu tahu. Terima kasih pada ustaz kerana sudi menolong saya. Sesungguhnya saya seorang manusia yang jahil di muka bumi ini. Semoga saya dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin hendaknya. Terima kasih sekali lagi.
Wassalam....
Assalamualaikum *****
Bertemu lagi,
Selamat hari raya dan maaf zahir batin.
Alhamdulillah, ***** masih mahu berbincang dengan ustaz. Apapun, ustaz akan berkongsi dengan ***** secara jujur. Sebagai seorang saudara seagama, ustaz akan memberi respon atas segala kemusykilan yang diajukan selagi termampu.
Isu 1 : Penzina akan mengahwini penzina
Ini benar, jika ***** pernah berzina maka sewajarnya ***** mengahwini lelaki yang pernah berzina. Ia dianggap perlu kerana agama menyatakan begitu. Namun, tidak semestinya ***** mengahwini S. Tapi, jika dia adalah pilihan yang dirasakan sesuai...maka teruskan saja.
Isu 2 : Hubungan antara lelaki dan anak zinanya(perempuan).
S sebenarnya tidak wajib memberi nafkah kepada anak zinanya. Tidak wajib dan tidak sunat. Jika dia berbuat begitu, ia sekadar harus sahaja. S boleh sahaja mengabaikan hak nafkah anak luar nikah tersebut jika dia mahu. Berkaitan hubungan antara S dan anak luar nikah, sememangnya S tidak ada hubungan dari segi hukum. Dan S boleh saja berkahwin dengan anak zina kerana ia tidak ada hubungan bapa dan anak.
Isu 3 : Berkahwin dan bercerai.
Isu berkahwin dan bercerai ini urusan allah. Kita berikhtiar dan tuhan akan menentukan. So, kalau boleh ***** kena minta S benar-benar 'Putus' hubungan dengan D. Biar cerita lama itu terkubur dan segala jenis hubungan antara S dan anak D juga biarlah berakhir. Kerana ini boleh menjejaskan perkahwinan ***** dengan S untuk jangka masa panjang.
Itu sahaja untuk kali ini, harap dapat membantu.
Wassalam.
1 comments:
salam...
amat simpati kepada penghantar email kat ustaz tue...
pandangan saya...
stp manusia pernah melakukan kesilpan..
harap2 awak segera bertaubat dengan dosa zina yg awak dah lakukan tue...moga2 ALLAh terima taubat awak...
percayalah, walau setinggi langit dosa yang awak dah lakukan, masih ada ruang utk bertaubat...
pada saya, awak buat solt istikharah, minta petunjuk mana satu lelaki yang patut anda jadikan suami.
smoga ALLAH menerima taubat dari hamba2 Nya yg berdosa dan lalai...
salam...
Post a Comment